Konsep Wakaf Tunai
Wakaf tunai ialah berwakaf dengan menggunakan wang tunai yang dikumpul di dalam satu tabung amanah di bawah pengurusan nazir yang diamanahkan untuk mengurus wakaf ini bagi tujuan kebajikan dan manfaat ummah.
Para ulama di zaman silam telah menggunakan istilah wakaf ad-darahim atau wakaf ad-dananir iaitu wakaf menggunakan wang dirham atau dinar dalam kehidupan mereka.
Secara umumnya wakaf tunai ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk mengumpulkan dana dari kalangan umat islam yang kemudianya dapat dimanfaatkan bagi kepentingan pembangunan ummah.
Fatwa Pensyariatan Wakaf Tunai
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-77 yang bersidang pada 10-12 April 2007 di Kuala Terengganu telah memutuskan bahawa berwakaf dalam bentuk wang tunai adalah dibolehkan dalam Islam
Imam Az-Zuhri, seorang ulama terkenal dalam ilmu hadith, telah memfatwakan bahawa berwakaf dalam bentuk dinar dan dirham adalah diharuskan bagi tujuan berdakwah, kebajikan ummah dan pendidikan umat islam.
Matlamat Wakaf Tunai
- Melaksanakan ibadah wakaf secara berkelompok
- Memberi alternatif kepada umat Islam untuk turut menyumbang ke arah pembangunan sosio-ekonomi masyarakat Islam.
- Melahir dan menzahirkan pembangunan institusi wakaf dengan lebih produktif dan berwibawa.