Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah melancarkan satu lagi inisiatif berimpak tinggi di bawah Projek Pembangunan Asnaf 2.0 menerusi perasmian kilang pemprosesan mi kuning yang terletak di Daerah Pontian, Johor.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Johor, YB Dato’ Haji Yahya Ahmad.
Inisiatif ini bertujuan memperkasa ekonomi golongan asnaf dengan melibatkan mereka secara langsung dalam industri pemprosesan makanan. Seramai lima (5) orang asnaf telah dipilih dan dibimbing oleh seorang mentor berpengalaman dalam pembuatan mi kuning. Mereka menerima latihan dan pendedahan menyeluruh bagi membolehkan mereka menceburi bidang ini secara serius serta memenuhi keperluan pasaran.
Majlis turut menyaksikan penandatanganan Dokumen Persefahaman antara MAINJ dan Perbadanan Usahawan Johor (PUJB). Menerusi kerjasama ini, PUJB akan membantu MAINJ dalam usaha membimbing dan membangunkan potensi keusahawanan dalam kalangan asnaf agar mereka mampu berdikari dan menjana pendapatan secara mampan.





